Wednesday, November 25, 2020

Jawapan Nabi Muhammad SAW

Daripada Saidina Khalid bin Al-Walid RA berkata
Telah datang seorang Arab Badwi kepada Rasulullah SAW dan dia menyatakan tujuannya:

"Wahai Rasulullah...! Kedatanganku untuk bertanya engkau mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku didunia dan akhirat.”

Rasulullah berkata kepadanya: “Tanyalah apa yang engkau kehendaki.”

Arab Badwi itu berkata:
"Aku mahu menjadi orang alim." Baginda menjawab: "Takutlah kepada Allah SWT"

Dia bertanya lagi:
“Aku mahu menjadi orang paling kaya.” Rasulullah menjawab: “Jadilah orang yang yakin pada diri.”

Bertanya lagi Arab Badwi itu:
“Aku mahu menjadi orang yang adil.” Lalu dijawab oleh Rasulullah: “Kasihanilah manusia lain seperti engkau kasih pada diri.”

Dia bertanya:
“Aku mahu menjadi orang paling baik.” Baginda menjawab: “Jadilah orang yang berguna kepada masyarakat.”

Dia bertanya lagi:
“Aku mahu menjadi orang istimewa di sisi Allah.” Dan dijawab oleh Rasulullah: “Banyakkan zikrullah.”

Arab Badwi itu bertanya:
“Aku mahu sempurnakan imanku.” Baginda menjawab: “Perelokkan akhlakmu.”

Dia bertanya lagi:
“Aku mahu termasuk dalam golongan orang yang muhsin (baik)." Baginda menjawab: "Beribadatlah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya dan jika engkau tidak berasa begitu, sekurang-kurangnya engkau yakin Dia tetap melihat engkau.”

Arab Badwi bertanya lagi:
“Aku mahu termasuk dalam golongan yang taat,” Lalu dijawab baginda: “Tunaikan segala kewajipan yang difardukan.”

Dia bertanya lagi:
“Aku mahu berjumpa Allah dalam keadaan bersih daripada dosa.” Rasulullah menjawab: “Bersihkan dirimu daripada najis dosa.”

Dia terus bertanya:
“Aku mahu dihimpun pada hari kiamat di bawah cahaya.” Baginda menjawab: “Jangan menzalimi seseorang.”

Dia bertanya lagi:
“Aku mahu dikasihi oleh Allah pada hari kiamat.” Baginda berkata: “Kasihanilah dirimu dan kasihanilah orang lain.”

Dia bertanya:
"Aku mahu dihapuskan segala dosaku.” Baginda menjawab: “Banyakkan beristighfar.”

Dia berkata:
“Bagaimana pula aku mahu menjadi semulia-mulia manusia,” Lalu baginda menjawab: “Jangan mengesyaki sesuatu perkara pada orang lain.”

Dia bertanya:
“Aku mahu menjadi segagah-gagah manusia.” Baginda menjawab: “Sentiasa menyerah diri (tawakal) kepada Allah.”

Dia bertanya lagi: “Aku mahu dimurahkan rezeki oleh Allah.” Baginda menjawab: “Sentiasa berada dalam keadaan bersih (daripada hadas).”

Dia bertanya:
“Aku mahu termasuk dalam golongan yang dikasihi Allah dan rasul-Nya.” Baginda menjawab: “Cintailah segala yang disukai Allah dan Rasul-Nya.”

Dia bertanya:
“Aku mahu diselamatkan daripada kemungkaran Allah pada hari kiamat.” Baginda menjawab: “Jangan marah kepada orang lain.”

Dia bertanya lagi kepada Rasulullah:
“Aku mahu diterima segala permohonanku.” Baginda menjawab: “Jauhilah makanan haram.”

Dia bertanya:
“Aku mahu Allah menutupkan segala keaibanku pada hari kiamat.” Baginda pun menjawab: “Tutuplah keburukan orang lain.”

Dia bertanya:
“Siapa yang terselamat daripada dosa?” Rasulullah menjawab: “Orang yang sentiasa mengalir air mata penyesalan, mereka yang tunduk pada kehendak-Nya dan mereka yang ditimpa kesakitan.”

Dia terus bertanya:
“Apakah sebesar-besar kebaikan disisi Allah?” Baginda menjawab: “Elok budi pekerti, rendah diri dan sabar dengan ujian (bala).”

Dia bertanya lagi:
“Apakah sebesar-besar kejahatan di sisi Allah?” Baginda menjawab: “Buruk akhlak dan sedikit ketaatan.”

Dia bertanya: “Apakah yang meredakan kemurkaan Allah di dunia dan akhirat?” Baginda menjawab: “Sedekah dalam keadaan sembunyi (tidak diketahui) dan menghubungkan kasih sayang.”

Dia bertanya lagi:
“Apa yang akan memadamkan api neraka pada hari kiamat?” Baginda menjawab: “Sabar didunia dengan bala dan musibah.”

Dan telah berkata Imam Mustaghfirin: “Aku tidak pernah menemui hadis sebegini lengkap merangkumi kesempurnaan agama dan kehidupan selain hadis ini.”

instagram: emahidden